Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus hari ini digantung sehari daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah enggan mematuhi arahan Speaker Teng Chang Kim supaya duduk dan menghentikan perbalahan selepas usul dikemukakannya ditolak.
Perbalahan selama 15 minit berlaku antara Abdul Shukor dengan Teng ketika usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk membahaskan isu perlombongan pasir di Selangor ditolak menyebabkan beliau enggan duduk dan mempersoalkan tindakan Speaker.
"Peraturan mesyuarat mana Yang Berhormat gunakan untuk berdiri dan berbahas (isu perlombongan pasir) ini?" tanya Teng.
Abdul Shukor menjawab Peraturan Mesyuarat 35 (1) membenarkan seseorang anggota dewan berdiri untuk bercakap serta mempersoalkan mengapa usulnya itu tidak diterima untuk dibahaskan.
Tindakan Abdul Shukor yang enggan duduk walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian oleh Teng menyebabkan Teng hilang sabar lalu mengenakan tindakan digantung daripada menghadiri persidangan dewan terhadap wakil rakyat itu.