Umno Anjur 19 Program Ceramah Sempena 'Roadshow' Selamatkan Selangor
28/07/2010 06:11 admin 8
UMNO Selangor akan menganjurkan 19 program ceramah sempena program 'Roadshow' Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) bermula esok sehingga 8 Ogos depan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata program ceramah itu merangkumi 19 bahagian UMNO di negeri itu yang bermula dengan bahagian Shah Alam esok.
"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, roadshow SSDE bertujuan untuk menjelaskan mengenai pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terhadap rakyat di Selangor.
"Melalui program ini kita akan berceramah dan berkomunikasi secara terus dengan rakyat Selangor bagi menerangkan isu seperti penyelewengan pasir dan isu membabitkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.
Noh berkata program SSDE fasa satu itu akan memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat.